Kadang kala peranti komputer desktop/laptop/notebook sering kali mengalami masalah-masalah kecil
Nota : Sesetengah penyelesaian (langkah demi langkah) dikhususkan untuk pengguna komputer dengan sistem operasi (OS) Windows 7 sahaja.
Perkakasan (Hardware)
1. Gangguan bekalan kuasa
Jika anda selalu mengalami gangguan kuasa dan masalah voltan secara
tiba-tiba, ia boleh menyebabkan kerosakan teknikal yang turut
menyebabkan kerosakan perkakasan dan kehilangan data. Jangan ambil mudah
jika ia selalu berlaku.
Penyelesaian
Gunakan Uninterruptible Power Supply (UPS) yang akan menyediakan aliran
tenaga kuasa berterusan kepada komputer walaupun menghadapi gangguan
kuasa secara tiba-tiba. Ia akan menyediakan anda masa yang mencukupi
untuk menyimpan data dan menutup PC terlebih dahulu jika perlu.
2. Kepanasan
Sering kali berlaku kes komputer/laptop tidak memiliki sistem
penyejukan yang mencukupi yang mana tidak mampu menampung kerja-kerja
yang anda sedang lakukan. Apabila ia berlaku, komponen komputer/laptop
tersebut mulai menjana haba berlebihan semasa beroperasi.
Penyelesaian
Untuk mengelakkan masalah ini berterusan, matikan komputer/laptop anda
terlebih dahulu dan biarkan ia sebentar. Selain itu, periksa pada kipas
bagi memastikan ia berfungsi dengan baik. Untuk laptop, jangan biarkan
ia di atas lantai semasa bekerja sebaliknya dapatkan kipas tambahan
sebagai sokongan penyejukan.
3. Bunyi asing dan getaran
Masalah ini hampir-hampir pasti berkaitan perkakasan pada komputer
anda. Bunyi yang bernada tinggi biasanya disebabkan oleh perkakasan
elektronik. Walau apa pun alasannya, anda boleh cuba untuk melakukan
pemeriksaan awal.
Penyelesaian
Buka sarung kepada CPU anda berhati-hati untuk mengetahui penyebab
masalah tersebut. Periksa sama ada ia datang daripada kipas atau
wayar/skru yang longgar daripada kedudukan asal. Jika ia bukan berpunca
daripada dua masalah tersebut, jangan usik komponen lain dan dapatkan
bantuan yang lebih pakar.
4. Selalu reboot sendiri
Masalah yang biasa dialami oleh komputer ialah kadang kala akan
berulang kali reboot sendiri tanpa permintaan. Kes ini selalunya
disebabkan oleh perkakasan komputer itu sendiri.
Penyelesaian
Periksa keadaan semasa bekalan kuasa yang anda gunakan, sama ada telah
mengalami kerosakan atau pun masih dalam keadaan baik. Selain itu,
mungkin kipas penyejuk anda telah kotor yang mana habuk yang terkumpul
pada kipas akan mempercepatkan pemanasan yang mana akan menyebabkan
komputer anda akan mati secara automatik.
5. Sambungan USB tidak berfungsi
Kadang kala apabila anda cuba menyambung peranti seperti pencetak,
scanner, kamera web dan lain-lain melalui USB ke
komputer/laptop/notebook/dll, ia tidak berfungsi. Sebenarnya, sesetengah
port hab USB, monitor atau peranti lain yang digunakan sebagai
perantara tidak memberikan kuasa yang mencukupi untuk menyokong peranti
tersebut. Ia memerlukan hab yang memiliki kod kuasa tersendiri untuk
berfungsi dengan baik.
Penyelesaian
Cuba untuk terus menyambung USB tersebut secara langsung ke salah satu
port USB komputer anda tanpa sebarang perantara. Alatan kecil seperti
pemacu USB, mouse dan lain-lain memiliki kod kuasa sendiri tetapi elakkan menggunakan perantara bagi peranti yang memerlukan lebih kuasa.
6. Masalah pencetak (printer)
Pertama sekali perkara yang perlu dilakukan adalah sambungkan secara
tepat pencetak ke komputer anda mengikut arahan pengilang pencetak anda.
Kemudian cuba untuk troubleshooter pencetak tersebut yang mana ia akan mendiagnosis secara automatik dan menyelesaikan masalah anda.
Penyelesaian
Windows 7 - Buka troubleshooter pencetak dengan klik
pada Start ̶> Control Panel ̶> taip troubleshooter pada kotak
carian ̶> Troubleshooting ̶> Di bawah Hardware and Sound, klik
pada Use a printer ̶> Next.
7. Prestasi komputer semakin perlahan
Apabila menyedari komputer anda mulai perlahan dengan ketara tidak
sepadan dengan usianya, masalah yang mungkin dialami antaranya adalah
telah dimuatkan dengan fail-fail yang tidak perlu, pecahan data, registry korup, gangguan program spyware, perkhidmatan atau perisian.
Penyelesaian
Uruskan program dan padam data dan perisian yang tidak perlu, bersihkan registry dengan lebih kerap bagi membantu meningkatkan sekurang-kurangnya 30% daripada kelajuan prestasinya.
Cara membuang perisian yang tidak perlu atau tidak digunakan :
Windows 7 – Butang Start ̶> Control Panel ̶> Lihat
pada Programs ̶> Uninstall a program ̶> Pilih program/perisian
dan klik Uninstall/Change/Repair.
#Anda perlu berhati-hati supaya tidak terbuang program/perisian yang penting.
8. Ralat mesej ketika start-up
Pernah mengalami situasi ketika menghidupkan komputer, anda dapat
melihat mesej-mesej ralat pada skrin seperti ‘mpclink.xyz’ hilang atau
rosak dengan diminta klik pada sebarang kekunci untuk meneruskannya.
Jika melihat mesej ini, anda perlu menekan kekunci kira-kira 8 hingga 10
kali sebelum penyambungan Windows semula.
Penyelesaian
Ini berlaku kerana anda telah hanya memadam sesuatu program tetapi
tidak menyahaktifkan pemasangannya. Jika anda benar-benar ingin membuang
sesuatu aplikasi atau program, ikuti seperti langkah nombor 7.
9. Skrin membeku (Frozen)
Apabila skrin anda tidak membenarkan sebarang tindak balas dilakukan
atau dalam erti kata lain membeku, anda mengalami risiko kehilangan
apa-apa kerja yang masih belum disimpan. Puncanya boleh dikatakan kerana
RAM tidak mencukupi, konflik registry, fail korup atau hilang dan spyware.
Penyelesaian
Apabila ini berlaku, anda tiada pilihan lain selain terpaksa reboot
komputer anda. Tekan dan tahan butang kuasa sehingga komputer dimatikan,
kemudian mulakan semula untuk kerja-kerja pembersihan sistem supaya ia
tidak berulang.
10. Serangan virus dan spyware
Ia ialah sesuatu perkara normal yang berlaku kepada setiap peranti
pengkomputeran yang sentiasa aktif di talian. Sudah menjadi kebiasaan
bagi setiap pengguna untuk memiliki sekurang-kurangnya satu perisian
sekuriti seperti antivirus untuk mengawalnya daripada terus merebak dan
merosakkan sistem komputer anda. Tetapi, bagaimanakah jika serangan
tersebut begitu menjadi-jadi tatkala perisian sekuriti anda masih belum
dikemas kini?
Penyelesaian
Windows Defender ialah perisian antispyware yang disertakan dengan
Windows dan berjalan secara automatik apabila ia dihidupkan. Tetapi anda
juga perlu sentiasa mengemas kini Windows Defender bagi memastikan
pengesanan spyware terbaru. Cara aktifkan dengan
Windows 7 – Start ̶> taip Defender dalam kotak carian ̶> Windows Defender.
11. Tidak dapat jalankan Windows
Jika anda masih dapat boot dalam Safe Mode (F8 pada start-up) masalah
ini mungkin berkaitan dengan perisian dan bukannya perkakasan.
Penyelesaian
Cuba menggunakan system restore jika anda berada dalam Safe Mode atau memulihkan (recovery) untuk kembali pada tarikh sebelumnya. Jika anda tidak dapat boot ke Safe Mode, cuba boot ke dalam komputer dalam mod Repair my computer untuk memperbaiki masalah isu start-up tersebut.
Teknikal
12. Kehilangan fail Dynamic-Link Library (DLL)
DLL ialah fail maklumat dalaman bagi sistem operasi anda tentang
bagaimana untuk melaksanakan fungsi-fungsi tertentu. Kadang kala, DLL
boleh hilang dan rosak. Apabila tidak boleh membaca fail DLL tertentu,
komputer anda tidak tahu bagaimana untuk bertindak dalam sesetengah
keadaan berkaitan. Mesej ralat pemberitahuan akan dihantar ketika anda
cuba melakukan fungsi yang terlibat seperti penyimpanan.
Penyelesaian
Jika masalah tersebut dikenal pasti akibat kehilangan atau kerosakan
fail DLL, anda perlu mengenal pasti fail DLL tersebut melalui beberapa
kaedah seperti di www.processlibrary.com dengan mendapatkan nama proses
(dari Task Manager Windows) atau nama fail DLL dan mendapatkan maklumat
lebih lanjut mengenai fail atau pun carian di enjin carian.
13. Blue Screen of Death (BSoD)
Sudah tentu semua pengguna komputer pernah mengalami masalah ini yang
mana skrin tiba-tiba menjadi biru dan muncul teks yang berwarna putih.
Sebenarnya ia ialah salah satu petanda bahawa telah berlaku masalah yang
agak kronik.
Penyelesaian
Untuk risau, kebanyakan masalah ini hanya memerlukan anda untuk reboot
semula. Ralat STOP muncul di skrin anda atas pelbagai sebab termasuklah
kegagalan perkakasan, perisian rosak, fail DLL korup, masalah dengan
pemacu dan sebagainya. Penyelesaiannya lebih bergantung pada punca
masalah tetapi Skrin menyediakan anda dengan kod yang boleh membantu
rujukan anda mengenal pasti dan menyelesaikan masalah tersebut.
14. Ruang Disk penuh
Ia berlaku kerana anda membiarkan bagi jangka masa yang lama disk
komputer dipenuhi benda tidak berguna seperti fail internet sementara,
fail program yang dimuat turun, komponen pilihan Windows yang tidak
digunakan, program yang dipasang tetapi tidak digunakan serta titik
pemulihan yang tidak digunakan dan salinan daripada System Restore.
Sudah pasti ia memberi kesan kepada prestasi komputer.
Penyelesaian
Alatan Disk Cleanup membantu membebaskan ruang pada hard disk
dengan mengenal pasti fail yang selamat dipadam dan memberikan anda
pilihan untuk memadam beberapa atau semua fail yang telah dikenal pasti.
Windows 7 – Start ̶> All Programs ̶> Accessories
̶> System Tools ̶> Disk Cleanup. Jika anda memiliki beberapa
bahagian pemacu, anda boleh spesifik yang mana hendak dibersihkan ̶>
OK. Pilih apa yang ingin anda bersihkan.
15. Hard drive gagal berfungsi
Ini merupakan senario kes terburuk yang mana kegagalan sistem mungkin
disebabkan hard drive rosak atau korup. Anda dapat mengesannya jika
sistem anda tidak dapat boot, tiada sistem operasi dikesan, komputer hang pada permulaan serta PC anda mengeluarkan bunyi aneh.
Penyelesaian
Jika anda bimbang berkenaan keselamatan fail anda, cuba langkah-langkah
berikut sebelum menghantar ke kedai. Anda boleh cuba untuk mengambil
fail menggunakan CD boot dan cuba untuk menggunakan alatan pemulihan
sistem percuma seperti SuperDuper, The Ultimate Boot CD dan sebagainya.
16. Windows out-of-date
Sesetengah pengguna berpendapat tidak perlu melakukan kemas kini pada
Windows mereka walau pun mereka sebenarnya sedar ia perlu untuk menerima
tetapan baru yang bertujuan untuk peningkatan prestasi. Ia kerana
mereka berpendapat ia akan dilakukan secara automatik. Tetapi, untuk
keselamatan anda juga boleh lakukannya sendiri jika Windows telah out-of-date.
Penyelesaian
Windows 7 - Start ̶> All Programs ̶> Windows Update
̶> Check for updates. Selepas itu, pergi kepada panel kiri, pilih
Change Settings ̶> Pastikan Install Updates Automatically
(Recommended) dan Every Day dipilih.
17. Penggunaan memori berlebihan
Jika anda mulai merasakan penggunaan memori yang berlebihan sehingga
tindakan komputer mulai perlahan apabila anda sedang menjalankan program
tertentu, ia mungkin disebabkan oleh satu atau lebih program mungkin
mempunyai kebocoran memori. Untuk menghentikan kebocoran tersebut, anda
perlu menghentikannya dengan menutup program tersebut.
Penyelesaian
Untuk memperbaiki kebocoran memori tersebut, anda perlu memeriksa kemas
kini perisian program tersebut atau hubungi empunya perisian. Tetapi,
bagaimanakah untuk mengesan perisian manakah yang mengalami kebocoran
ketika anda sedang bekerja?
Windows 7 – Buka Task Manager (Ctrl + Alt + Del) ̶> Start
Task Manager ̶> Klik pada tab Processes ̶> Untuk menyusun
program mengikut penggunaan memori, klik pada Memory (Private Working
Set)
18. Carian rangkaian wayerles
Jika dengan laptop, anda sering kali bermasalah menyambung senarai
rangkaian wayerles ketika anda memerlukan sambungan internet jika
peranti anda tidak menyambungnya secara automatik. Rangkaian wayerles
hanya akan muncul jika peranti anda memiliki penyesuai rangkaian
wayerles, driver dipasang dan penyesuai diaktifkan.
Penyelesaian
Tetapan secara manual untuk Windows 7 – Buka Connect to a
Network dengan klik pada ikon rangkaian di kawasan notifikasi ̶>
lihat senarai wayerles ̶> klik rangkaian pilihan ̶> Connect
#Sesetengah rangkaian memerlukan kata laluan sekuriti atau passphrase. Ia boleh didapatkan melalui admin rangkaian atau Internet service provider (ISP) untuk kata laluan/ passphrase tersebut.
19. Sambungan internet perlahan
Tidak kira seberapa pantas pun sambungan internet yang anda miliki,
kadang kala anda dapat rasakan sambungannya sedikit perlahan daripada
biasa. Windows menyediakan aplikasi troubleshooter yang akan secara automatik mencari dan menyelesaikan masalah sambungan biasa.
Penyelesaian
Windows 7 - Buka Internet Connections troubleshooter :
Start ̶> Control Panel ̶> Taip troubleshooter dalam kotak
carian ̶> klik Troubleshooting ̶> di bawah Network and Internet
klik Connect to the Internet.
20. Masalah sambungan internet
Masalah kehilangan sambungan internet secara tiba-tiba ini ialah
sesuatu konflik yang agak rumit kerana ia terjadi kerana banyak sebab.
Perkara pertama yang boleh anda lakukan cuba jalankan troubleshooter
Network (seperti di atas) untuk membantu diagnosis. Jika ia masih tidak
berjaya, cuba cari puncanya dengan mengingati perkara yang dilakukan
sebelum masalah tersebut.
Penyelesaian
Jika masalah ini berlaku selepas anda memasang perisian baru, semak
tetapan sambungan jika ia telah berubah. Klik kekunci Start ̶>
Control Panel ̶> Taip perkataan Adapter di kotak carian dan bawah
Network and Sharing Center klik View network connections. Klik kanan
pada sambungan ̶> Properties. Jika memerlukan kata laluan untuk
pengesahan, berikan dan ikut langkah-langkah tersebut.-Majalah PC
Tiada ulasan:
Catat Ulasan