Sabtu, 10 Jun 2017

Ustaz Google, Ustazah Yahoo

Oleh

PERKEMBANGAN dunia teknologi maklumat hari ini begitu hebat sekali. Kadang-kadang ada yang tidak terjangkau oleh akal kita sebelum ini, sekarang ia bukan lagi suatu yang mustahil.

Melalui teknologi maklumat, yang jauh dapat didekatkan, yang sukar dipermudahkan dan bumi yang luas seolah-olah menjadi satu kampung yang kecil.

Begitulah mungkin tamsilannya. Kecanggihan teknologi maklumat ini memberi banyak kebaikan dan kemudahan kepada manusia. Untuk mendapatkan sebarang maklumat, ia tidak lagi sesukar dahulu.

Hanya satu klik

Hari ini seseorang boleh dilihat sebagai pakar ekonomi yang mengulas isu kenaikan harga barang; seorang doktor yang bercakap isu kesihatan; seorang juruterbang yang memberi komen isu pesawat terhempas; ahli mateorologi yang menerangkan keadaan cuaca; dan apa sahaja bidang yang mahu disentuh; semua itu hanya dengan satu klik di internet.

Ini termasuk juga dalam bidang berkaitan agama. Ia tidak dapat lari dari diulas sesiapa sahaja yang mahu mengulas dan membahaskannya.

Satu klik di enjin carian internet, mampu menjadikan seseorang itu kelihatan sebagai seorang ustaz dan ustazah yang berkelulusan dari Timur Tengah.


Ilmu berkembang

Dari satu sudut, realiti ini adalah positif. Ruang pencapaian maklumat menjadi mudah. Perkembangan ilmu bertambah pesat dan tidak tersekat.

Satu bahan bacaan, artikel atau jurnal terbitan di Universiti Oxford contohnya, boleh dibaca oleh seorang pelajar yang tinggal di Kampung Teluk Wang tanpa perlu pergi ke sana. Satu ceramah agama yang berlangsung di Universiti Ummul Qura, Makkah boleh disaksikan dari Kampung Bukit Kura tanpa perlu pergi ke Makkah. Semuanya adalah manfaat daripada internet.

Dengan kecanggihan dunia teknologi maklumat sekarang, ilmu semakin berkembang dan merentasi kepungan yang ada sebelum ini. Perkembangan ilmu akan mencetuskan perkembangan minda dan kematangan seseorang.

Jika sebelum ini, ilmu agama yang kita belajar mungkin terbatas kepada satu pandangan mazhab sahaja dan hanya berdasarkan kepada beberapa buku. Sehinggakan sebahagian orang begitu mudah menuduh seseorang yang membawa pandangan lain yang tidak diketahuinya bahawa itu adalah Wahabi, sesat dan sebagainya.

Sedangkan pandangan tersebut ada dalam al-Quran dan hadis sahih serta disebut imam mazhab lain dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Namun, disebabkan keterbatasan maklumat, dia menjadi musuh kepada kejahilan diri sendiri.

Tetapi, hari ini keadaan semakin berubah. Seseorang itu berupaya untuk membaca dan mengetahui ilmu agama dari sudut yang pelbagai. Dari banyak aliran mazhab. Dari ramai guru dan tokoh pendakwah. Dari banyak sumber bacaan. Semua ini adalah manfaat daripada internet.

Kesannya, tembok kejumudan dan ketaksuban yang sebelum ini menyekat dan menumpulkan minda seseorang dapat dirobohkan. Nilai ilmiah diangkat lebih tinggi apabila membahaskan sesuatu isu agama berbanding emosi. Islam dapat difahami secara lebih meluas, rasional dan praktikal berpaksikan kepada prinsipnya yang jelas dan tetap.


Disiplin ilmu agama

Namun, bukankah apabila ruang pencapaian maklumat di internet begitu luas dan senang, ia juga boleh mengundang keburukan?

Benar! Ia boleh mengundang keburukan dalam apa jua bidang. Lebih merisaukan jika keburukan itu terpalit kepada bidang agama. Tersilap mengulas tentang isu ekonomi tidaklah seberat tersilap dalam mengulas isu agama.

Agama Islam bukan berasaskan teori rekaan atau pandangan manusia. Ia adalah agama wahyu. Wahyu berteraskan dalil. Dalil yang utama adalah al-Quran dan sunnah. Al-Quran dan sunnah bukan boleh difahami sewenang-wenangnya. Ia mempunyai prinsip dan metod yang tersendiri.

Justeru, bertitik tolak dari sinilah Islam terlebih dahulu menitikberatkan metod dalam mempelajari ilmu agama atau dalam istilah bahasa Arab disebut manhaj al-talaqqi. Metod yang betul akan membuahkan natijah yang betul. Jika dari awal metodnya  salah, maka natijahnya juga akan salah.

Ruang yang terhad ini tidak mengizinkan saya untuk berkongsi apakah manhaj al-talaqqi yang digariskan oleh Islam. Namun, sebagai gambaran ringkas, ia berkisar kepada beberapa prinsip berikut:

Prinsip utama mempelajari ilmu agama ialah mesti bersumberkan kepada al-Quran, sunnah Rasulullah SAW, ijma salaf al-soleh dan qiyas. Walaupun ulama berbeza pandangan dalam menjadikan qiyas sebagai sumber hukum, namun majoriti (jumhur) mereka bersetuju dengan syarat-syarat tertentu.

Al-Quran, sunnah, ijmak dan qiyas inilah menjadi teras dalam agama Islam. Al-Quran dan sunnah menjadi sumber utama.

Justeru, cara berinteraksi dengan kedua-dua sumber ini perlu betul supaya kita mendapat pemahaman yang betul. Antara asasnya yang penting ialah:

Pertama: Mengutamakan nas syarak daripada al-Quran dan sunnah
Bagi memahami al-Quran, ia perlu dirujuk kepada tafsirannya. Bagi memahami hadis, ia perlu dirujuk kepada huraiannya yang diiktiraf.

Jika hanya dirujuk kepada Syekh Google, ia akan memaparkan tafsiran dan huraian daripada pelbagai sudut. Ada yang betul dan ada yang ternyata salah. Jadi, mengetahui sedikit asas disiplin dalam ilmu tafsir dan ilmu mustalah hadis adalah kuncinya.

Kedua: Berpegang kepada sunnah sahih. Ini adalah metod penting. Mesti mengetahui terlebih dahulu status hadis yang kita ingin jadikannya sebagai hujah. Perbahasan tentang ilmu hadis ini sangat luas dan ia terikat dengan disiplin yang sangat ketat.

Tidak mempunyai asas dalam ilmu hadis ini boleh menyebabkan seseorang itu tersalah faham bahkan menyebarkan pula sesuatu yang salah.

Sebahagian mereka yang bergelar ustaz, memakai jubah, melilit serban, ada slot di TV, dijemput di radio, pun masih membaca, menyebar dan berhujah dengan hadis-hadis palsu.

Jika tersalah sekali, mungkin kita faham bahawa ustaz juga ada kelemahannya. Tetapi jika melakukan perkara yang sama berulang kali, ini sudah karut!

Seseorang bergelar ustaz yang berhujah dan menyebarkan hadis palsu kemudian memberi alasan “saya tak pasti”, “saya tak dan nak semak”, “saya rasa pernah terbaca dulu dalam buku kawan saya” dan sebagainya, adakah ini alasan yang munasabah diberikan oleh seorang ustaz?

Sepatutnya, sebelum memberi berceramah, mengajar, atau bersiaran tidak kira berapa puluh minit sekali pun, seorang ustaz mesti membuat persiapan terlebih dahulu. Memastikan dalil dan hujah yang ingin disampaikan adalah betul.
 Justeru, metod yang betul akan membuahkan natijah yang betul.

Ketiga: Memahami nas dengan betul

Bukan sahaja berpegang dengan nas dan dalil yang sahih, tetapi cara memahaminya juga mestilah betul. Ada orang yang berhujah dengan ayat al-Quran dan hadis yang sahih, tetapi cara pemahamannya salah, maka kesimpulannya juga akan salah.

Ringkasnya, bagi mendapat kefahaman yang betul terhadap sesuatu dalil dan nas, perkara-perkara berikut perlu diberikan perhatian:

Merujuk kepada cara pemahaman sahabat Rasulullah SAW terhadap sesuatu ayat al-Quran dan hadis Baginda SAW.

Memahami asas dalam bahasa Arab

Menghimpunkan semua dalil yang menyebut tentang perkara yang sama dalam satu bab bagi mendapat gambaran menyeluruh tentang isu tersebut.

Memahami objektif sebenar (maqasid) ayat al-Quran atau hadis tersebut .


Semangat berdakwah

Semangat dan keinginan untuk berdakwah adalah sikap terpuji. Bahkan ia satu kewajipan berdasarkan kemampuan masing-masing. Tidak hanya ditanggung oleh mereka yang bergelar ustaz atau ustazah sahaja. Bahkan, kecanggihan teknologi maklumat hari ini semakin memudahkan kita untuk berdakwah.

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam muqadimah Thaqafat al-Daiyah menyebut pendakwah yang ingin terjun ke medan perjuangan bagi menentang kejahilan, hawa nafsu, penyelewengan  dan kejahatan, perlulah mempersiapkan diri dengan beberapa kelengkapan senjata: Pertama: Senjata iman. Kedua: Senjata akhlak.

Ketiga: Senjata ilmu pengetahuan.

Kita sedang membincangkan senjata yang ketiga. Ilmu pengetahuan. Sebelum berkongsi sesuatu maklumat dengan orang lain, pastikan terlebih dahulu maklumat tersebut adalah sahih. Niat berdakwah itu baik dan betul. Namun niat yang betul sahaja tidak cukup melainkan kita pastikan juga bahan dakwah kita juga adalah baik dan betul.

Jika kita tidak ada kemampuan untuk membaca dan memahami kitab-kitab tafsir dan hadis secara langsung, maka antara jalan selamat ialah kita belajar agama ini dari mereka yang mementingkan metod dan disiplin yang betul dalam memahaminya. Jika metod kita betul, jadi “ustaz google dan ustazah yahoo” mungkin lebih baik daripada ustaz yang menjadi penglipur lara, bercerita dan berlawak jenaka sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Adbox